HIJRAH MUALLAF MENUJU AL-FALAH

Hijrah bermaksud perpindahan.
Berpindah dari titik A ke titik B melalui satu proses perjuangan.

Sebagai makhluk ciptaan Allah, manusia sentiasa mengalami proses hijrah. Dari alam roh ke alam rahim kemudian berhijrah ke alam dunia, lahir sebagai seorang bayi yang suci bersih dari segala dosa. Bayi yang belum kenal dunia. Bagaimana mungkin berdosa?

Semua ciptaan Allah melalui proses perpindahan.
Setiap perpindahan bergantung pada tujuan rancangan, pengorganisasian dan pelaksanaan seperti kita memandu sebuah ‘kereta’ yakni diri kita menuju ke suatu destinasi iaitu menuju Tuhan.

Tanya pada diri, dalam hidup ini,
“Kita hendak ke mana?”

Bayi itu lahir dalam keadaan tidak tahu apa-apa.
Namun, Allah telah beri tanda-tanda kebesaranNya.

Istimewanya kita sebagai makhluk,
Allah telah beri sesuatu yang tiada pada makhluk lain iaitu AKAL FIKIRAN.

‎قُلِ انظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya).”

-Surah Yunus, ayat 101.

Bayi itu kemudian belajar merangkak, bertatih, bertutur kata..
Kemudian membesar dan mulai belajar tentang erti sebuah kehidupan.

Ibu bapalah yang mencorak seseorang manusia menjadi Nasrani, Majusi atau Yahudi. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Hijrah bukan sekadar perpindahan jasmani tetapi emosi dan rohani, seluruhnya kepada kebaikan.

Setiap dari Allah terselitnya hikmah.

Di kacamata seseorang yang tidak lahir Islam, berhijrah kepada Islam, suatu perjuangan besar. Bayangkan menyelidik tentang Islam terlebih dahulu, ada yang bertahun lamanya, ada yang tidak sempat, ada yang mengatur strategi meneliti sekiranya Islam punya titik kelemahan, lalu semakin mencari semakin tidak jumpa lalu berjalan lah dengan tabah ke pejabat agama dengan penuh rasa musykil dan khuatir akan keputusan yang bakal berubah total.

Mujur Islam ternyata agama kebenaran seperti dalam Surah Ali Imran, ayat 19
“Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam…..”

Betapa beruntungnya yang lahir Islam kerana sekurangnya telah dididik subur dengan asas ilmu pada ibu bapa mereka. Sekurangnya mereka kenal siapa Tuhan, tahu siapa Nabi, serta dapat beramal ‘DEEN’ (Cara hidup) sebenar yang Allah redhai.

Berbeza pada muallaf—
hijrah itu suatu momen terpenting dalam hidup terutama ketika,
— dan sekiranya sempat mengucap dua kalimah syahadah.

Berjuraian air mata memikirkan,
….akhirnya setelah sekian lama ‘hilang dari radar tujuan hidup’,
muallaf ini kini.. Kembali ‘menemui’ Sang Tuhan Pencipta…. 

Allahu ya Allah.. Allahu kabeera (Allah Maha Besar)

Memang perayaan Hari Raya Eidulfitri, Raya Korban itu perayaan besar bagi umat Islam tetapi Maal Hijrah bawa erti istimewa bagi para muallaf. Menelusuri kisah hijrah Nabi Muhammad SAW menzahirkan akhlak alQuran bersama para sahabat RA ke Habsyah dan ke Madinah, merancang destinasi, susun gerak kerja, sebagai tauladan ummah dengan izin Allah. Prinsip syura dalam sistem pentadbiran, bukti proses dan strategi kebijaksanaan baginda Nabi sebagai seorang khalifah. Hatta penulis non Muslim Michael Hart, seorang astrofizik dan penyelidik menobat Nabi Muhammad Rasul Allah SAW orang pertama dalam “The 100:A Ranking of thr Most Influential Persons in History”.

Tidak dinafikan kesempurnaan peribadi agung itu oleh orang yang berakal.

‎وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” – Surah al-Isra’, ayat 70

Allah sentiasa mahu menolong hambaNya yang mahu berubah kepada kebaikan.

Hijrah adalah satu bentuk—
Rahmat dan kasih sayang Allah,
dan PERLU IKHTIAR MANUSIA.

— Maka peranan kita, sempena Awal Muharam ini.
Kenanglah semula perjalanan hidup kita, dari lahir hingga saat ini.

Melalui ujian-ujian sunnatullah..
Tiada manusia yang tiada ujian, namun

Sebagai manusia. Sebagai insan—
Tanya pada diri,
ADAKAH KITA SUDAH BERHIJRAH KEPADA KEBAIKAN?

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari zaman kejahilan, Nabi mendidik ummah sehingga kegemilangan Islam —
Dari sifat buruk manusia, Nabi mengajar tentang kesempurnaan akhlak —
Dari terkontang-kanting hidup sesuka hati, Nabi mengajak cara membina jati diri —

Hijrah adalah PROSES, PERJALANAN, PEMINDAHAN, PERJUANGAN.

Dari hijrah itu, masyarakat Islam terbentuk sukses.
Dari hijrah itu, tamadun dan sahsiah islamiyyah membangun.
Dari hijrah yang sama jualah, non muslim dan muslim sehingga kini masih punyai kesempatan menuju Al-Falah (kejayaan) dengan kembali pada Tuhan.

Nescaya dengan memahami erti hijrah, kita akan lebih rindu Nabi dan menghargai sebuah perjuangan oleh Nabi kita yang perlu diteruskan….

“Tidak akan terhenti hijrah kecuali apabila pintu taubat tertutup; dan tidaklah pintu taubat tertutup kecuali apabila matahari naik dari barat”
– Riwayat Abu Daud

Tulisan : Mitchelle Nur Alya

Share This Post